HANOI: Skuad bina badan negara terus menampilkan prestasi membanggakan apabila menyumbang dua pingat perak dan dua gangsa pada Sukan SEA ke-31 di sini.

Buda Anchah dan Zmarul Adam Pulutan Abdullah, masing-masing meraih perak dalam kategori 70 kilogram (kg) dan 75kg lelaki pada hari kedua acara bina badan berlangsung di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.

Setelah sembilan tahun acara bina badan tidak dipertandingkan pada Sukan SEA, kejayaan Buda sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang meraih pingat gangsa pada edisi 2013 di Myanmar.

Pingat emas kategori itu diraih atlet Myanmar Ye Htun Naung manakala gangsa milik Phouthsavanh Sisomphou dari Laos.

Zmarul Adam pula terpaksa akur kepada peserta tuan rumah Tran Hoang Duy Thuan sementara pingat gangsa menjadi milik atlet Thailand, Wichai Singthong.

Kem bina badan negara turut meraih dua pingat gangsa menerusi Zainal Arif Zainal Ariffin dan Muhammad Uzair Mat Noor, masing-masing dalam kategori 80kg dan 85kg.

Zainal Arif berada di kedudukan ketiga di belakang pemenang pingat emas Ekkaphon Sukthong dari Thailand dan atlet Myanmar Min Zaw Oo yang memenangi perak.

Muhammad Uzair pula di kedudukan ketiga di belakang Aphichai Wandee dari Thailand dan peserta Myanmar Khin Mg Kyaw.

Pencapaian hari ini menyaksikan skuad bina badan negara sudah mengutip tiga pingat perak dan tiga gangsa selepas Malaysia memenangi satu perak dan satu gangsa semalam.

Malaysia berpeluang merangkul pingat emas pertama dalam acara bina badan apabila jaguh negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mike,' dijadual beraksi esok.

Juara dunia empat kali itu akan bersaing dalam acara Athletics Physique.

Kali terakhir bina badan dipertanding di Sukan SEA ialah pada edisi 2013 di Myanmar apabila Malaysia membawa pulang masing-masing satu emas, perak dan gangsa.

-- BERNAMA