KEPALA BATAS: Dua pemain berpengalaman dari Thailand bakal memperkuat skuad sepak takraw Pulau Pinang, Penang Black Panthers, bagi menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2024, bulan depan.

Komkrit, 32, bermain di posisi apit kiri manakala Pannaphat, 29, berperanan sebagai tekong.

Pengurus pasukan Mohd Hasnul Hadi Abdul Rashid memberitahu Bernama kehadiran pemain import akan merancakkan lagi STL 2024 selain para pemain tempatan, sekali gus menambah kesengitan saingan.

Beliau berkata selain dua pemain import itu, Penang Black Panthers turut diwakili pemain senior Muhammad Zaim Razali, 30, yang telah bermain dengan negeri itu sejak 10 tahun lepas.

"Muhammad Zaim yang merupakan kapten pasukan ialah pemain kebangsaan dan dia juga pemain Piala Raja Thailand yang akan ke sana (Thailand) esok sebelum kembali 10 Sept iaitu sehari sebelum STL 2024.

"Pasukan kami juga dibarisi empat pemain Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 iaitu Danial Iman Hasbullah, Mohd Nabil Naufal Mohd Fuad dan Ikhwan Shafiq Mohd Fitri yang membawa pulang pingat emas baru-baru ini," katanya selepas majlis memperkenalkan pemain, pengurusan dan penaja Penang Black Panthers yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Urusan Perniagaan Emas Anuar Mohd Khurulanuar Mhamad selaku penaja pasukan itu.

Gandingan muka lama dan baharu memberikan kelebihan kepada pasukan dan Mohd Hasnul Hadi percaya mereka dapat mempamerkan prestasi cemerlang.

Beliau berkata Penang Black Panthers menyasarkan ke perlawanan akhir untuk setiap sirkit STL 2024 yang terdiri daripada lima sirkit, bermula di Selangor pada 11 hingga 15 Sept ini diikuti Terengganu pada 24-28 Sept, Perak (9-13 Okt), Pulau Pinang (16-20 Okt) dan Johor pada 29 Okt hingga 2 Nov.

STL 2024 membuka tirainya pada 26 Ogos lepas di Melaka dengan acara Divisyen 1 sebelum diikuti lima sirkit atau acara Grand Prix (GP) sebelum acara kemuncak STL Champions Cup pada 13 hingga 17 Nov di Stadium MPSJ Serdang Jaya, Selangor.

-- BERNAMA