WWE semalam telah mengumumkan penganugerahan ini melalui catatan di laman Twitter rasmi mereka, dan Sting bakal menjadi antara bintang lagenda yang diberikan pengiktirafan ini di malam gala Dewan Kemasyhuran yang bakal berlangsung sehari sebelum acara terbesar WWE, Wrestlemania pada 2 April 2016 ini.
Bekas bintang ikonik World Championship Wrestling (WCW) ini juga secara rasmi telah mengesahkan perkara ini dan berbesar hati untuk menerima penganugerahan terbesar industri gusti professional ini:
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi WWE, Paul "Triple H" Levesque telah memberi ulasan berkenaan penganugerahan ini di laman web WWE.com.
"Kami rasa amat berbangga kerana Sting telah mendapat tempat yang selayaknya dengan dimasukkan dalam Dewan Kemasyhuran WWE. Sumbangan besarnya kepada industri tidak mampu ditandingi sesiapa, dan kami berasa amat penting untuk meraikan perjalanan kerjaya beliau bersama para peminat di seluruh dunia."
Penganugerahan ini telah tertangguh terlalu lama buat Juara Heavyweight Dunia WCW/NWA sebanyak 9 kali ini. Sting atau nama sebenarnya Steve Borden merupakan bintang utama WCW yang tidak pernah menjejakkan kaki ke arena WWE sejak penutupan organisasi pesaing WWE tersebut pada tahun 2001.
Selama bertahun-tahun pihak WWE cuba memujuk beliau untuk menyertai mereka, namun tiada kata sepakat berjaya dimeterai, membuatkan para peminat terus ternanti-nanti bintang yang mendapat jolokan "The Icon" tersebut untuk muncul dan bersaing di WWE.
Bintang lagenda yang kini berusia 56 tahun ini merupakan penggusti pujaan ramai ketika beraksi di WCW. Memulakan karier di syarikat tersebut sejak tahun 1987, Sting terus mengorak langkah dengan menjadi wira kegemaran ramai dan digilai peminat tua dan muda. Dengan imej contengan di muka yang menjadi kegemaran peminat khususnya kanak-kanak, beliau mentrasformasikan dirinya kepada imej yang lebih gelap, dengan menampilkan persona seperti watak dalam filem The Crow.
Imejnya yang misteri itu terus menjadi lambang keperwiraan apabila beliau menjadi antara tonggak utama membanteras gagasan jahat New World Order pimpinan Hollywood Hulk Hogan yang telah menghuru-harakan syarikat tersebut. Sting terus berjuang hingga ke titisan peluh dan darah terakhir di WCW sebelum syarikat itu menutup tirainya pada Mac 2001 akibat tadbir urus yang kurang cekap, dan seterusnya diambil alih oleh World Wrestling Federation kelolaan Vince McMahon.
Sting turut membuat penampilan di TNA Wrestling pada tahun 2005, dan berjaya merangkul kejuaraan utama di syarikat tersebut. Beliau menamatkan kontrak pada tahun 2014, dan telah membuat kemunculan yang mengejutkan para peminat gusti di seluruh dunia, apabila menjadi penyelamat pasukan John Cena di acara Survivor Series 2014.
Penampilan sulungnya di acara Wrestlemania 31 tahun lalu mengubat rindu para peminat apabila beliau bertemu Triple H sendiri. Biarpun tewas dalam perlawanan pertamanya di WWE itu, kemampuan beliau menampilkan mutu perlawanan yang hebat menjadi buah mulut para peminat gusti di seluruh dunia. Sting terus diberi peluang untuk merebut Kejuaraan Heavyweight Dunia WWE daripada Seth Rollins di acara Night Of Champions September lalu. Namun mungkin kerana faktor usia, Sting turut tewas dalam perlawanan tersebut dan mengalami kecederaan leher yang agak serius, seterusnya memaksa beliau berehat dan menjalani pemulihan hingga ke saat ini.
Pastinya Sting akan menjadi sumber inspirasi para penggusti generasi baharu di seluruh dunia. Semangat membara dan tidak kenal erti putus asa bakal menjadi pencetus semangat dan sekaligus melayakkan nama beliau sebaris dengan bintang-bintang lagenda sedia ada di Dewan Kemasyhuran WWE.
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia di Facebook yang kini telah menghimpunkan lebih 14,000 peminat gusti di Malaysia.
Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.