KUALA LUMPUR: Tonggak tengah pasukan bola sepak Palestin Mohammed Bassim Ahmed Rashid menyifatkan Malaysia sebagai 'rumah kedua' bagi skuadnya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini pada Isnin lepas.

Mohammed Bassim berkata beliau sendiri menyaksikan rata-rata peminat bola sepak negara ini memberi sokongan besar dan solidariti kepada Palestin sama ada ketika aksi pasukan kebangsaan Harimau Malaya atau perlawanan Liga Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata kemudahan dan fasiliti yang disediakan di sini juga bakal memberi manfaat besar kepada skuadnya untuk beraksi pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Korea Selatan dan Jordan September ini.

"Saya rasa amat sukar untuk bermain di Palestin. Kami berkampung di sini selama lima hari sebelum ke Korea Selatan dan ia begitu penting.

"Saya berharap ia membantu dalam perlawanan pertama kami menentang Korea Selatan dan selepas itu Jordan," katanya pada sesi latihan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras di sini hari ini.

Skuad bimbingan Makram Daboud itu tiba di ibu kota pada Isnin untuk membuat persediaan menjelang aksi Pusingan Tiga Kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Korea Selatan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan bantuan fasiliti dan kemudahan untuk digunakan.

Selepas bertemu Korea Selatan di Seoul pada 5 Sept ini, Palestin yang berada di ranking ke-96 dunia akan kembali ke Malaysia untuk melayan kunjungan Jordan bagi aksi kedua Kumpulan B pada 10 Sept.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) memilih Malaysia sebagai venue untuk gelanggang sendiri bagi perlawanan bertemu Jordan.

FAM diberi tanggungjawab menguruskan perlawanan itu dari segi operasi dan teknikal termasuk kem latihan pusat pasukan berkenaan.

-- BERNAMA