SHAH ALAM: Perjuangan 27 tahun menuntut janji ganjaran memenangi Piala Malaysia 1995 akhirnya berhasil, apabila 26 anggota skuad Selangor ketika itu masing-masing bakal menerima sebuah pangsapuri awal tahun hadapan.

Isteri Allahyarham Anuar Abu Bakar yang merupakan salah seorang bekas pemain, Siti Mariam Sathawee, 49, berkata suaminya antara individu yang memperjuangkan perkara itu tanpa jemu sehinggalah beliau meninggal dunia akibat kanser hati pada Mei 2019.

"Arwah ada cuba berjumpa dengan beberapa orang bagi menguruskan ganjaran yang dijanjikan tetapi tidak berjaya.

"Arwah pernah meluahkan kekecewaan pada saya berkenaan perkara itu," katanya dengan nada sebak kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Undi dan Menandatangani Perjanjian Penyerahan Hartanah oleh 26 anggota Skuad Bola Sepak Selangor 1995 di Foyer Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Anggota skuad itu termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, ahli fisioterapi dan 'kitman', masing-masing menerima satu unit rumah SelangorKu berkeluasan 1,022 kaki persegi di Pangsapuri Idaman Abadi di Batu 18, Hulu Langat bernilai RM250,000.

Pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 11 Nov 1995 apabila menewaskan Pahang di Stadium Shah Alam dan susulan kemenangan itu, pemain dan pegawai dijanjikan sebidang tanah berukuran 0.4 hektar oleh pihak kerajaan negeri ketika itu.

Bekas penyerang, Ismail Ibrahim, 59, meluahkan rasa syukur selepas perjuangannya dan rakan-rakan berakhir dengan berita gembira.

"Gerak kerja kami diperhebat selepas dimaklumkan tanah yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebelum ini sudah tiada, termasuk pihak yang dipertanggungjawabkan untuk perkara berkenaan juga tiada (hilang).

"Sebelum ini janji tersebut dicatatkan dalam minit mesyuarat kerajaan negeri jadi ada hitam putih. Jadi kami yakin kami akan dapat," katanya yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pasukan UiTM FC.

Ismail berkata sejak 2019 mereka mula mendapatkan keratan akhbar (laporan media mengenai janji ganjaran itu) dan berjumpa dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari untuk meminta bantuan.

Katanya, ini kerana hanya menteri besar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sahaja boleh melihat rekod Mesyuarat Kerajaan Negeri tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor Rodziah Ismail berkata kerajaan negeri memberikan keistimewaan kepada anggota skuad itu dengan tidak meletakkan sebarang syarat kelayakan seperti pemohon Rumah Selangorku dan mereka juga tidak tertakluk kepada syarat-syarat penjualan menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Berdasarkan status terkini, kemajuan projek Pangsapuri Idaman Abadi akan siap dengan sijil perakuan penyiapan dan pematuhan (CCC) pada akhir bulan ini dan kunci akan mula diserahkan pada awal tahun hadapan," katanya.

-- BERNAMA