Presidennya Datuk Amarjit Singh berkata Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut, mampu menggalas tanggungjawab memimpin pasukan negara dengan baik sekali gus menghadiahkan pingat buat negara.
"Ketika Sukan Olimpik Paris kita dah lihat Shah Firdaus hampir buat kejutan dengan kayuhan yang cukup mantap tapi malangnya dia kemalangan pada 50 meter (m) sebelum garisan penamat.
"Dia (Shah Firdaus) juga kini berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk kejohanan ini. Saya percaya kalau dia buat kayuhan cemerlang sama seperti dilakukan sebelum ini, ada kejutan akan berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, Mohd Azizulhasni dilaporkan menarik diri daripada beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia apabila mahu memberi tumpuan untuk menamatkan pengajian di universiti.
SUKAN-BERBASIKAL TREK (AMARJIT) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Selain Muhammad Shah Firdaus, adiknya Muhammad Ridwan Sahrom bersama pelumba wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi akan mengambil bahagian pada edisi kali ini.
Pada masa sama, Amarjit berharap Nurul Izzah Izzati yang juga pemegang rekod kebangsaan acara pecut wanita, mampu melakukan catatan masa lebih baik berbanding sebelum ini.
Untuk rekod, anak jati Kedah itu meleburkan rekod kebangsaan miliknya di Sukan Olimpik Paris dengan catatan 10.709 saat (s) di pusingan kelayakan di Saint Quentin en Yvelines.
Sementara itu, Pengarah Teknikal skuad berbasikal trek negara John Beasley berkata Muhammad Shah Firdaus yang akan beraksi dalam acara keirin esok, adalah potensi terbaik Malaysia untuk membawa pulang pingat pada edisi kali ini.
"Semua pelumba dalam keadaan baik dan sedia untuk memulakan pertandingan," katanya.
-- BERNAMA