BIRMINGHAM: Pasangan atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji meneruskan rentak cemerlang pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila mencatat kemenangan kedua dalam acara pairs wanita pada Rabu.

Gandingan negara itu yang dalam misi mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia, tidak berdepan masalah menewaskan wakil Cook Islands, Matapa Puia-Nooroa Mataio, 22-6 di Victoria Park, Leamington Spa, di sini.

Siti Zalina-Emma Firyana dijadual menentang gandingan adik beradik dari Malta, Rebecca Louise Rixon dan Connie-Leigh Rixon pada aksi ketiga pusingan awal itu pada Khamis, diikuti bertemu pasangan Norfolk Island, Shae Wilson dan Carmen Anderson bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan pada hari sama.

Sementara itu, Fairul Izwan Abd Muin turut mempamerkan prestasi terpuji apabila merekodkan kemenangan kedua dengan menumpaskan pemain Fiji, Semesa Naiseruvati, 21-14 dalam acara singles lelaki.

Pemain berusia 39 tahun itu akan berdepan Carel Aron Olivier dari Namibia dan kemudiannya bertemu wakil England,Jamie Walker pada perlawanan peringkat kumpulan Khamis.

Skuad wanita bertiga negara yang dibarisi Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad pula terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan gandingan Jennifer MacDonald, Leanne Chinery dan Kelly McKerihen, dari Kanada, 18-17 dalam acara triples wanita.

-- BERNAMA