Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjangkakan peningkatan pada jumlah kehadiran penonton sepanjang saingan GP Malaysia hujung minggu ini.

Keyakinan itu telah disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Jelas Razlan, faktor cuaca tidak akan menjadi penghalang kepada kemeriahan perlumbaan yang memasuki edisi ke-15 nya tahun ini.

Tambah beliau, setakat ini jualan tiket masih aktif dan menjangkakan sasaran 90,000 penonton di hari perlumbaan pada Ahad mampu dicapai.

“Setakat ini kita telah mencecah 70 peratus sasaran kita iaitu 90,000 pada hari Ahad. Jualan tiket masih aktif lagi jadi kita harap yang kita dapat cecah sasaran 90,000 itu. Saya percaya faktor hujan ini tak memainkan peranan. Siapa yang suka tengok F1 ini, hujan ke tak hujan ke, mereka akan datang,” kata Razlan kepada pemberita.

Razlan ditemui pada Majlis Amal GP Malaysia anjuran SapuraKencana Petroleum di Kuala Lumpur pada Khamis.

Saingan F1 GP Malaysia akan membuka tirai pada Jumaat dengan dua sesi latihan bebas.

Tahun lalu, perlumbaan ini dimenangi pelumba Ferrari, Fernando Alonso yang mengatasi cabaran Sergio Perez dan Lewis Hamilton.