SELANGOR FC melaungkan amaran awal kehadiran naib juara Liga Super 2023 itu di pentas Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bukan sekadar biasa-biasa apabila menjuarai Kejuaraan RCTI Sports Premium 2024 pada Ahad.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta itu, anak buah Mohd Nizam Jamil menewaskan Persija Jakarta, 1-0 hasil tandukkan Alvin Fortes minit ketiga.

The Red Giants juga turut cemerlang apabila Fortes juga dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir selain Ronnie Fernández dipilih pemain terbaik kejuaraan itu.

Selangor mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Sabah 3-2 dalam perlawanan separuh akhir.

Selain Selangor, Persija Jakarta dan Sabah, kejuaraan empat penjuru itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$30,000 (RM140,000) itu juga disertai satu lagi wakil Indonesia, PSIS Semarang.

Ini merupakan trofi kedua kejuaraan empat penjuru dimenangi anak buah Nizam Jamil selepas muncul juara Selangor Kusel Asia Challenge (SAC) 2024 pada April lalu. - Sinar Harian