"Saya menangis satu minggu ... saya tidak boleh makan, tidur pun tidak boleh," kata Chong Wei, dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), di sini hari ini.
Namun, katanya beliau harus kekal tenang ketika menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Taiwan.
"Saya dirawat oleh tujuh orang doktor, empat daripada mereka adalah peminat saya, dan mereka sangat mengharapkan agar saya dapat kembali bermain seperti biasa secepat mungkin," katanya.
"Perlu kuat dan tabah dan kehidupan perlu diteruskan. Rawatan kanser saya sangat sukar, makan tidak boleh dan saya hanya mampu minum susu," kata Chong Wei.
Chong Wei, 36, turut mendedahkan beliau baharu sahaja pulang dari rawatan susulan di Taiwan semalam (Rabu).
"Doktor lebih memahami keadaan tubuh saya. Buat masa ini, saya hanya menjalani latihan biasa, tiga kali seminggu untuk mengekalkan tahap kecergasan saya," kata Chong Wei, sambil menambah latihan fizikal itu hanya dijalankan di rumah.
Memandangkan tahap kesihatannya, Chong Wei turut berkata keluarganya tidak menggalakkan beliau untuk kembali aktif dalam arena badminton.
"Isteri saya (Datin Wong Mew Choo) juga tidak begitu menggalakkan saya untuk menyambung karier saya ini. Namun, atas dasar sayangkan badminton, mereka akur dengan keputusan saya untuk terus bermain," kata Chong Wei.
Sementara itu, Chong Wei berkata beliau tekad untuk meneruskan kariernya sehingga ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.
Menurutnya, dia yakin kondisi kesihatannya sempurna dan mampu beraksi semula seperti yang dimaklumkan oleh tujuh pasukan doktor perubatan dari Taiwan.
"Saya sayang badminton dan ini untuk Malaysia," katanya lagi.
Sebelim ini, Chong Wei telah menerima rawatan kanser hidung selama dua bulan di Taiwan. Beliau dibenarkan pulang ke tanah air pada awal Okt, namun sebelum tiba di Malaysia, beliau telah berpesan kepada pihak media tempatan untuk tidak menunggunya.
"Saya menerima banyak permintaan untuk ditemu ramah namun, keadaan saya waktu itu keadaan saya tidak mengizinkan saya bertemu media. Leher saya terbakar akibat rawatan barah itu," katanya.