KAPTEN Manchester United, Wayne Rooney membidas kritikan dilontarkan terhadapnya dengan melabelkan kebanyakkan komen tersebut adalah 'sampah'.

United berdepan kritikan selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum melakar kemenangan 3-1 ke atas Northampton Town dalam saingan Piala EFL pada Rabu.

Rooney paling menerima kecaman susulan prestasi hambarnya dengan ramai bekas pemain dan pengkritik bola sepak mempersoalkan sama ada pemain itu layak beraksi dalam kesebelasan utama skuad kendalian Jose Mourinho.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya menyumbang satu gol selepas lima penampilan di Liga Perdana Inggeris.

Namun, penjaring terbanyak skuad antarabangsa England itu enggan memikirkan kritikan tersebut dan berkata kecaman dihadapinya bukan perkara baharu.

Bercakap di laman sesawang rasmi United, dia berkata:"Saya dikecam hampir dalam keseluruhan karier saya -- tetapi itulah bola sepak.

"Saya hanya perlu mendengar kata jurulatih dan rakan sepasukan, saya tidak perlu mendengar apa yang dikatan pihak lain kerana kebanyakkan perkara yang mereka perkatakan adalah sampah.

"Saya hanya perlu fokus, bekerja keras sepertimana yang saya lakukan sebelum ini."

Rooney berkata kritikan dilontarkan adalah perkara biasa selepas United mengalami tiga kekalahan berturut-turut namun dia menegaskan tiada apa yang mereka mampu lakukan selain bekerja lebih keras untuk menghadirkan keputusan lebih positif.

"Tewas tiga perlawanan dan semua pihak akan berkata tentang situasi itu. Jadi penting untuk kami bangkit dengan keputusan lebih baik."