JURGEN Klopp menegaskan Mohamed Salah adalah pemain terbaik di dunia ketika ini selepas mempamerkan prestasi luar biasa buat sekian kali dalam kemenangan 5-0 Liverpool ke atas Watford, malam tadi.
Salah memintas rekod Didier Drogba sebagai pemain Afrika yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi larian solo yang menakjubkan selain menghasilkan hantaran hebat buat gol pembukaan Sadio Mane.
Persembahan mantap itu adalah kesinambungan daripada penampilannya sepanjang musim ini yang menyaksikan pemain sayap tersebut telah mencetak 10 gol dan empat bantuan jaringan dalam 10 penampilan. termasuk satu lagi gol yang mempesonakan ketika terikat 2-2 dengan Manchester City sebelum perlawanan antarabangsa rehat yang lalu.

BACA: EPL: Liverpool tetap garang tanpa kelibat Alisson, Fabinho 



Pengurus The Reds, Klopp, berasakan ia menjadi bukti untuk menyokong hujahnya bahawa Salah kini berada di kemuncak prestasinya.
"Persembahannya (Salah) cukup hebat hari ini," kata pengurus kelahiran Jerman itu kepada BT Sport.
"Ia benar-benar luar biasa. Gol pertama adalah menerusi hantaran hebatnya tetapi kemudian jaringannya benar-benar luar biasa.
"Dia bersemangat untuk mencubanya di dalam kotak penalti. Dia mencubanya beberapa kali, tiada masalah, penyerang boleh melakukannya. Dia akhirnya berjaya menjaringkan gol walaupun terpaksa menunggu lebih lama. Adalah jelas kami memerlukan prestasinya untuk mencapai apa yang diimpikan.
"Dia sedang di kemuncak prestasi. Kita semua menyaksikannya. Siapa yang lebih baik daripadanya pada saat ini? Kita tidak perlu bercakap tentang apa yang pernah Messi dan Ronaldo lakukan untuk bola sepak dunia dan sudah berapa lama mereka benar-benar dominan.
"Tetapi pada masa ini, saya rasa sudah jelas bahawa tiada pemain yang lebih baik daripadanya. Bukan hanya semalam, dia sudah lama di tahap ini dan dia masih muda untuk mengekalkan prestasinya agar bertahan lebih lama."