KOTA KINABALU: Sabah FC berharap dapat memanfaatkan kem latihan berpusat di Johor bagi mencari keserasian dalam kalangan pemain di samping mengekalkan kecergasan dalam menghadapi baki saingan Liga Super, bermula 24 Julai nanti.

Ketua jurulatihnya Kurniawan Dwi Yulianto berkata, skuad Sabah FC tiba di Johor Bahru pada Jumaat lepas bagi menjalani kem latihan itu dan telah mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Ta'zim II malam tadi di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin yang berkesudahan skuad The Rhinos itu menang 3-1.

Katanya Sabah FC dijadual melawan Johor Darul Ta'zim II sekali lagi dalam perlawanan persahabatan di stadium sama malam esok, dan sesi kem latihan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu diteruskan sehingga perlawanan menentang PJ City FC pada 24 Julai ini.

"Semua 26 pemain yang dibawa ke Johor Bahru akan diberi peluang bermain dalam perlawanan latihan persahabatan itu nanti agar mereka dapat merasakan tekanan dalam perlawanan sekali gus memperbaiki 'match fitness' masing-masing.

"Perlawanan latihan persahabatan kita lalui ini amat penting bagi mencari keserasian, kelebihan serta kelemahan yang ada sebelum pertemuan menentang PJ City FC nanti," katanya kepada pemberita menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Mengulas mengenai dua pemain baharu pasukan iaitu pemain pertahanan import Risto Mitrevski dan bekas pertahanan kebangsaan Nazirul Naim Che Hashi yang dipinjam dari Perak FC, Kurniawan berkata mereka telah mula menunjukkan keserasian bersama pasukan.

"Mereka sudah mengerti dan memahami apa yang menjadi game plan kita, kedua-dua pemain itu akan diuji dalam perlawanan latihan persahabatan dan berharap mereka akan cepat faham dan mudah dapat menyesuaikan diri," kata pengendali dari Indonesia itu.

-- BERNAMA