KETUA jurulatih Hellas Verona, Igor Tudor, berkata gaya bola sepaknya tidak akan sesuai buat bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, pada ketika dia terus mencipta sensasi dalam Serie A.

Sejak Tudor mengambil alih Verona pada September lalu, pasukan itu telah mengumpulkan 16 mata daripada sembilan perlawanan -- sepanjang tempoh itu, Gialloblu berada di kedudukan keenam daripada segi mata terbanyak yang dikumpulkan di belakang Napoli, AC Milan, Atalanta, Inter Milan dan Juventus.

Verona mengikat pasukan pendahulu, Napoli, 1-1 hujung minggu lalu selepas menewaskan Roma, Lazio dan Juve sepanjang di bawah kendalian Tudor.

Ketika pasukan itu berevolusi di bawah bimbingan Tudor, pengendali berbangsa Croatia itu memberikan penjelasan mengenai cara bola sepaknya dan mengapa ia tidak sesuai untuk setiap kelab.

"Amat sukar untuk menggunakan sistem latihan kami dalam pasukan besar," kata bekas pertahanan Croatia dan Juve itu -- yang pernah menjadi pembantu Andrea Pirlo ketika menguruskan Ronaldo di Turin musim lalu -- kepada DAZN.


"Mungkin, kami boleh berkompromi dengan serangan dan melakukan 'zonal marking'. Ia agak gila, dengan cara yang bagus. Sudah pasti anda tidak boleh melakukan perkara seperti itu jika memiliki pemain seperti Cristiano Ronaldo.

"Bagaimanapun, bola sepak sentiasa berevolusi dan jurulatih juga perlu melakukan perkara sama, menggunakan sebaik-baiknya kedua-dua fasa itu," katanya.

Sejak ketibaan Tudor, Giovanni Simeone menjadi penjaring terbanyak dalam lima liga utama Eropah dengan sembilan gol sepanjang tempoh itu -- lebih dua jaringan berbanding penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, Jonathan David (Lille) dan Mohamed Salah (Liverpool).

Selepas 12 perlawanan, Verona kini menduduki tangga ke-10 Serie A dan ketinggalan lima mata daripada kelompok lima teratas menjelang waktu rehat antarabangsa.