Atlet terjun wanita, Nur Dhabitah Sabri yang menyinar dalam penampilan pertamanya di Sukan Olimpik Rio, berpotensi besar pergi jauh.

Bekas penerjun negara, Bryan Nickson Lomas, berpendapat dengan faktor usia masih muda, Nur Dhabitah perlu kerap menyertai kejohanan, untuk menggilap potensi.

Jelas Bryan, pencapaian layak ke final, cukup membanggakan.

Bryan juga berkata prestasi Nur Dhabitah juga menunjukkan program latihan dikendalikan jurutlatih Yang Zhuliang berjaya melahirkan lebih ramai bintang dalam sukan terjun.

"Yang Zhuliang sekali lagi membuktikan bahawa program latihannya berkesan.

"Bagi saya ini pencapaian yang cukup membanggakan kerana buat pertamakalinya ada dua penerjun wanita Malaysia yang layak ke acara akhir terjun perseorangan Sukan Olimpik,” tambah Bryan ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.


Dhabitah tamatkan saingan di tangga ke-9

Bryan juga menambah, Nur Dhabitah memerlukan latihan intensif dan banyak belajar dari rakan seniornya, Pandelela Rinong.

“Memandangkan ini penampilan pertama Dhabitah, saya berharap dalam masa empat tahun lagi Dhabitah akan lebih matang dan lebih banyak belajar daripada Pandelela.

“Saya juga berharap Dhabitah boleh terus bangkit daripada latihan dan kejohanan yang disertainya dan beliau perlu lebih kerap menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa bagi memperkemaskan terjunannya,” tambah Bryan.

Kem acara terjun negara terpaksa berpuas hati dengan pencapaian dua wakil negara meskipun gagal meraih sebarang pingat dalam acara akhir terjun perseorangan wanita 10m platform Sukan Olimpik Rio pagi tadi.

Nur Dhabitah mengakhiri saingan di tempat kesembilan dengan mengumpul 338.00 mata manakala Pandelela di tempat ke 11, daripada 12 peserta akhir.

Acara dimenangi oleh penerjun China, Ren Qian dengan 439.25 mata dan rakan senegaranya, Si Yajie memungut perak dengan 419.40 mata.


Rio 2016: Nur Dhabitah Sabri berpotensi - Bryan