MENCEBURI bidang pengulasan e-sukan yang lazimnya didominasi lelaki bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, ia tidak menghalang Siti Nurizati Jefree untuk terus berusaha mengukuhkan kedudukannya dalam industri tersebut.

Berkongsi pengalamannya sejak mula terlibat dalam bidang ini pada 2020, wanita berusia 24 tahun yang mesra disapa Reezpiupiu itu berkata, kritikan dan tohmahan sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya. Malah, ada pihak yang mempersoalkan kelayakannya sebagai pengulas e-sukan.

Namun, segala komen negatif tidak melemahkan semangatnya. Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat untuknya terus bekerja lebih keras demi mengejar impian.

"Ramai yang beranggapan saya tiada kemahiran dan pengetahuan dalam e-sukan, kononnya tidak sehebat lelaki. Ada juga yang mempertikaikan sama ada saya benar-benar layak sebagai pengulas.

"Tapi saya tidak peduli dengan semua itu. Saya memilih untuk membalas kritikan dengan kemahiran dan pengetahuan saya semasa mengulas," katanya kepada Bernama.

Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam bidang ini, bakat dan kemahiran Siti Nurizati akhirnya mula diiktiraf sehingga digelar "Eminem Liga Profesional MLBB" kerana kepetahannya mengulas dengan pantas.

Eminem merupakan penyanyi rap terkenal dari Amerika Syarikat yang sinonim dengan gaya rap spontan dan laju.

Keazaman dan usaha Siti Nurizati juga membuahkan hasil apabila beliau berjaya meraih pelbagai pencapaian, termasuk dinobatkan sebagai Pengulas Mandarin Terbaik MLBB Academy League Malaysia (MAL) 2023 serta diberi mandat mengulas di Kejohanan Dunia MLBB tahun lalu.

"Pada awalnya, memang sukar kerana saya perlu bekerja tiga kali lebih keras berbanding orang lain. Tapi apabila semakin dikenali, saya rasa semua usaha selama ini sangat berbaloi," katanya.

Beliau turut berharap lebih ramai wanita menceburi bidang pengulasan e-sukan memandangkan ketika ini jumlahnya masih kecil berbanding lelaki.

Bagi membantu mencapai matlamat itu, Siti Nurizati kini sedang membangunkan platform "SheCasts with Reezpiupiu", khusus untuk melatih wanita yang berminat menjadi pengulas e-sukan.

"Jika anda mahu menjadi pengulas e-sukan, jangan takut atau fikir anda perlu sempurna. Yang penting, terus belajar, berlatih, dan percaya dengan suara anda," katanya.

-- BERNAMA