Ratu terjun negara, Pandelela Rinong yakin lebih ramai lagi penerjun negara akan sertainya dan Ng Yan Yee ke Sukan Olimpik Rio tahun hadapan.

Pandelela yang berjaya meraih pingat gangsa di Kejohanan Akuatik Dunia 2015 Kazan, Rusia tempoh hari telah memberikan suntikan semangat kepada kontinjen Malaysia untuk meraih pingat di Rio nanti.

Penerjun kelahiran negeri Sarawak itu berkata, bukan hanya slot acara individu mampu diraih tetapi juga dalam acara berpasangan.

"Saya rasa penerjun lain masih lagi berpeluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik menerusi beberapa kejohanan yang akan berlangsung," ujar Pandelela.

Fokus barisan atlit terjun negara selepas ini di Kejohanan Grand Prix Asia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur September ini.

Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong juga kini dalam buruan slot ke Rio, sementara barisan penerjun lelaki diketuai oleh Ooi Tze Liang dan Amsyar pasti mahu tebus duka di Kazan, sekurang-kurangnya mampu mengesahkan slot layak ke Olimpik Rio di kejohanan itu nanti.