Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Aminuddin Omar menyifatkan pujian yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan jalinan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Cardiff City FC sesuatu yang positif dan yakin Kedah mampu mengembalikan semula kegemilangan yang dikecapi.

Menurut beliau lagi ia memberi satu gambaran bahawa perlunya kerjasama seperti ini di praktikan pasukan bolasepak tanah air untuk untuk pembangunan jangka panjang bolasepak negara.

Bagi pasukan Kedah ia sesuatu yang memberi kelebihan dan pasukan Kedah dilihat mampu pergi lebih jauh lagi dan mencapai kejayaan sepertin yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu.

Selain itu ianya dapat mencungkil pengalaman-penagalam baru dari segi pengurusan dan latihan terhadap pemain.

“Ini memberi satu gambaran baik bahawa perlunya kerjasama sebegini antara kelab-kelab di luar yang Berjaya.

"Kita perlu membangunkan bola sepak negeri dan saya yakin kata-kata semangat ataupun perangsang yang diberi oleh yang Perdana Menteri mencerminkan bahawa kita perlu melipat gandakan usaha dalam memastikan pembangunan bola sepak khusus di Kedah dan amnya di Malaysia dapat ditingkatkan,” kata Aminuddin.

Sementara itu, Aminuddin berkata Kedah akan memberi cabaran hebat dalam saingan Piala Malasyia kali ini.

Dengan corak latihan yang diberikan dan persediaan yang cukup beliau yakin Kedah mampu meraih mata demi mata dalam setiap kali perlawanan yang akan bermula menentang Lion Twelve pada 20 Ogos ini.

Pemain juga katanya berada dalam keadaan terbaik dan mampu memberi cabaran buat pasukan lain.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pujian yang diberikan Datuk Seri Najib terhadap pasukan Kedah yang memeterai memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan bola sepak negeri dan pengurusannya.

Kerjasama tersebut disifatkan sebagai satu sejarah bagi bola sepak Kedah kerana menjalinkan usahama dengan Cardiff, yang dinaikkan ke saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kerjasama yang meliputi aspek kemahiran pemain, kejurulatihan dan pengurusan kelab itu diharap memberi lembaran baharu bola sepak Kedah yang kempunan sebarang trofi sejak muncul juara Treble Lima tahun lalu.

Usahasama itu turut melibatkan cadangan penubuhan akademi bola sepak, berkemungkinan di Sungai Petani bagi membangunkan sukan itu peringkat akar umbi yang mampu memberi manfaat kepada pemain muda sekitar utara.