KUALA LUMPUR: Prestasi gandingan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun disifatkan masih belum mantap biarpun baharu sahaja mempertahankan gelaran Terbuka Taiwan 2023, Ahad lepas.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky menyedari, peminat meletakkan harapan tinggi kepada pasangan itu selepas bergelar naib juara Masters Malaysia bulan lepas, namun mereka tidak berupaya mengekalkan prestasi selepas tersingkir awal di dua kejohanan berikutnya, Terbuka Singapura 2023 dan Terbuka Indonesia 2023, baru-baru ini.

"Bagi saya ia (harapan) logik kerana aksi yang ditunjukkan semasa di Masters Malaysia bukan satu kebetulan, mereka menang dengan pasangan bagus dan hampir juara di final.

Jadi mereka ada kemampuan cuma tidak ada rasa tanggungjawab (tunaikan harapan)," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Wei Chong-Kai Wun berjaya menebus kekecewaan semasa Terbuka Singapura 2023 dan Terbuka Indonesia 2023 dengan menunjukkan kemampuan menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 20-22, 21-17, 21-14 di final kejohanan Super 300 tersebut.

Justeru, Rexy berharap agar pasangan negara itu mampu membuktikan kemampuan mereka dengan menyinar pada kejohanan bertaraf tinggi seperti Super 500, 750 dan 1000 selepas ini, sekali gus dapat mencapai kestabilan agar setanding dengan pasangan handal lain.

Pakar beregu dari Indonesia itu juga kagum melihat Wei Chong-Kai Wun tidak terlalu meraikan kejayaan selepas dimahkotakan juara Terbuka Taiwan 2023 memandangkan gandingan tersebut menyedari tahap dimiliki mereka ketika ini.

"Wei Chong-Kai Wun tahu tahap mereka di mana dan tak mahu terlalu yakin atau memberikan tekanan ke atas diri sendiri jadi mereka perlu buktikan lagi," katanya.

Sementara itu, Rexy menaruh harapan agar tiga wakil yang berada di bawah naungannya dapat menembusi kelompok 20 pasangan terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Berdasarkan ranking setakat 20 Jun lepas, hanya juara bertahan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil tunggal kebangsaan berada di kelompok 20 terbaik dunia dengan mengisi kedudukan keempat manakala gandingan professional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berada di tempat keenam.

Katanya, peluang juga terbuka buat pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang baharu digandingkan semula selepas berpisah susulan perselisihan faham sebelum ini, untuk meningkatkan kedudukan mereka di ranking dunia selepas menghuni ranking ke-35 dunia.

"Kita harap agar Sze Fei-Nur Izzuddin muncul juara di Terbuka Amerika Syarikat pada 11-16 Julai nanti dan seterusnya dapat memperbaiki ranking," katanya.

-- BERNAMA