Sandaran pingat bagi sukan badminton di Rio de Janeiro tidak hanya terletak di bahu jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei semata-mata, kata Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Beliau berkata tanggungjawab itu perlu turut dipikul pasangan beregu lelaki dan campuran.

Pasangan beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan pemain perseorangan wanita Tee Jing Yi merupakan pemain badminton yang layak beraksi di Olimpik Rio de Janeiro.

"Dari segi badminton, kita boleh katakan peluang terbaik kita menerusi tiga acara ini," katanya yang juga chef de mission (CDM) Malaysia kepada pemberita ketika melawat kem latihan skuad badminton di Stadium Juara di sini hari ini.

Beliau berkata beliau tidak akan menetapkan sasaran pingat negara sebelum berjumpa dengan semua atlet dan pengurus pasukan.

"Ini merupakan lawatan pertama saya sebagai CDM. Selepas ini saya akan membuat lawatan ke kem latihan renang diikuti menembak dan kesemua sukan yang layak ke Olimpik, kecuali terjun dan berbasikal yang sedang menjalani latihan di luar negara.

"Saya akan melihat latihan dan persediaan mereka dan perkara-perkara yang kita perlu buat persediaan sebelum mereka bertolak ke Rio. Kami menjangka kontinjen besar akan bertolak pada 29 Julai ini, kecuali beberapa atlet yang akan pergi sendiri," katanya.

Beliau berkata adalah penting bagi atlet untuk bertolak ke Brazil lebih awal untuk melawat dan menyesuaikan diri dengan venue perlawanan dan cuaca di negara Amerika Selatan itu, di mana latihan bagi latihan Olimpik dijangka bermula 24 Julai.

Menurut Mohamed Al-Amin, sebanyak 23 atlet negara telah layak ke Olimpik Rio termasuk perenang jarak jauh Heidi Gan yang telah mengesahkan tiket dalam acara marathon 10 kilometer renang terbuka menerusi sesi kelayakan Olimpik di Setubal, Portugal pada Ahad lepas.

"Kita jangkakan antara tiga atau empat pemain golf akan turut layak selain menunggu keputusan Siri Piala Dunia Memanah ketiga di Turki dalam acara berpasukan dan mungkin ada yang mendapat 'wild card'. Jadi kita jangkakan dalam 30 atlet akan layak," katanya.

Sementara itu Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata nasib Jing Yi yang mengalami kecederaan buku lali untuk menyertai Olimpik akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) pada 27 Jun dan mesyuarat exco pada hari berikutnya.

"Setiap orang prihatin dengan keadaannya. Kami mahu membuat keputusan segera kerana ketidaktentuan adalah tidak elok dan tiada orang yang menyukainya.

"Sehingga kini dia bebas daripada kecederaan dan dapat berlatih seperti biasa dan tidak menghadapi masalah," kata bekas lagenda badminton Denmark ini.

Jing Yi yang sepatutnya beraksi di Olimpik buat kali kedua selepas Olimpik London pada 2012, mungkin digantikan oleh juara remaja dunia Goh Jin Wei, selepas beliau mengalami kecederaan ketika final Sirkit Kebangsaan Pertama.

Atlet yang layak ke Rio setakat ini ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah); Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal); Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong dan Ng Yan Yee (terjun).

Turut tersenarai Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Latiff (pelayaran); Jonathan Wong Guanjie (menembak); Welson Sim (renang); Nauraj Singh (olahraga) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat).