Lebih menarik, pada aksi di Velodrom Nasional di sini hari ini menyaksikan pelumba berusia 24 tahun itu berada di kelas tersendiri, apabila berjaya menewaskan seniornya Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk merangkul emas pada kejohanan berprestij itu.
Muhammad Ridwan yang lebih mesra disapa 'Boy' itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 10.144 saat (s) sekali gus menyambar emas meninggalkan Muhammad Fadhil di kedudukan kedua, manakala pelumba Korea Selatan Kang Seoujun meraih gangsa.
"Hari ini hari terakhir acara saya sebelum ACC bermula, penutup race hari ini berakhir dengan baik, dua Siri lepas final pun saya tidak dapat layakkan diri, jadi saya memang gembira, buktikan saya dapat emas untuk keirin ini.
"Emas semalam juga memberi motivasi saya untuk dapatkan emas dalam acara keirin ini. Jurulatih juga sudah memberi banyak nasihat," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini hari ini.
Muhammad Ridwan turut meraih pingat emas bagi acara pecut elit lelaki pada Siri Dua dan Tiga Piala Presiden.
-- BERNAMA