Pada aksi berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini, pasukan kendalian K. Nanthakumar itu turun dengan semangat baru setelah tewas tipis 1-2 di tangan skuad 'Sang Saka Biru' pada aksi pertama tempoh hari.
Kedua-dua pasukan tampil berhati-hati seawal wisel mula ditiupkan namun jaringan sendiri terhasil oleh pemain pertahanan PDRM, Ezrul Ashraf pada minit kelapan sekali gus menyaksikan Negeri Sembilan menyamakan kedudukan dari segi agregat.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan menambah jaringan kedua pasukan menerusi Hadin Azman pada minit ke-53 yang merembat kencang bola masuk ke gawang PDRM.
Gerakan lincah A. Selvan memastikan skuad 'Hobin Jang Hobin' meraih gol ketiga pada minit ke-81 sekali gus menamatkan perjalanan PDRM pada saingan Piala Malaysia.
Dalam pada itu, Terengganu FC turut berhasil menempah pertemuan ke suku akhir apabila menewaskan Melaka FC menerusi keputusan agregat 4-1, selepas kedua-dua pasukan terikat seri 0-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
-- BERNAMA