Pada perlawanan separuh akhir kedua berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini, JDT bermula garang dengan percubaan pada minit kelima namun rembatan jarak jauh Juan Muniz Gallego berjaya ditepis penjaga gol Kedah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Pada minit ke-10, rembatan dari luar kotak penalti Bergson da Silva terus ke dakapan Kalamullah Al-Hafiz.
Pasukan Harimau Selatan itu terus mengasak benteng pertahanan KDA FC namun disiplin tinggi pertahanan lawan dan ketangkasan penjaga gol terus menggagalkan percubaan JDT mencari gol pembukaan.
Pada babak kedua, JDT terus manggandakan usaha membolosi gawang KDA FC namun rembatan Heberty Fernandes De Andrade pada minit ke-48 sekali lagi ditepis Kalamullah Al-Hafiz.
Usaha JDT akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan Muhammad Feroz Baharudin berjaya membolosi gawang KDA FC pada minit ke-49 hasil umpanan Matthew Davies.
JDT cuba menggandakan jaringan namun lorongan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-53 gagal disempurnakan Bergson apabila kuisan beliau berjaya ditampan penjaga gol KDA FC.
Pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada mini ke-61 tetapi jaringan Ebenezer Assifuah dibatalkan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Jose Cleylton De Morais Dos Santos berada di posisi ofsaid.
JDT terus mengasak gawang lawan namun sepakan Heberty Fernandes pada minit ke-65 berjaya diselamatkan pertahanan KDA FC Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan jaringan Bergson pada minit ke-66 dibatalkan kerana berada di posisi ofsaid.
Pada minit ke-75, gol kedua JDT terhasil apabila Bergson menanduk masuk sepakan sudut Gallego.
JDT terus menambah derita KDA FC selepas Gallego menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-82 hasil lorongan Maurilo Henrique De Araujo Santos.
Derita KDA FC bertambah parah selepas kapten pasukan Sony Norde dilayangkan kad merah pada minit ke-84 kerana mengasari Davies.
Sony Norde telah dilayangkan kad kuning pada babak pertama.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.
-- BERNAMA