Amerika Syarikat membuat kejutan dengan mengalahkan pasukan Ghana, 2-1 pada perlawanan Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2014 di Arena das Dunas, pagi tadi.

AS membuka tirai perlawanan dengan jaringan pantas pada minit pertama oleh Clint Dempsey ketika permainan hanya memasuki saat ke-30.

Jaringan dalam kotak penalti tersebut dilakukan setelah berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan Ghana, John Boye sebelum Dempsey merembat rendah ke arah gawang gol.

Amerika Syarikat, Ghana
Jaringan pertama oleh Clint Demsey - (AP Photo/Ricardo Mazalan)

Permainan kemudiaannya bertukar agak hambar selepas jaringan tersebut kerana AS dilihat tidak berupaya menambah jaringan.

Pasukan itu sebaliknya banyak menumpukan pada pertahanan berbanding melakukan serangan terhadap pasukan Ghana.

Bagaimanapun keadaan menjadi sengit pada saat-saat akhir separuh masa kedua apabila Ghana membalas serangan dengan menjadikan kedudukan 1-1 melalui jaringan pemain mereka, Andre Ayew.

Namun, AS bangkit daripada kedudukanterikat tersebut dengan jaringan kemenangan oleh John Brooks pada minit ke-86.

Amerika Syarikat,Ghana
Gol Tunggal Ghana oleh Andre Ayew - (AP Photo/Hassan Ammar)

Pemain pertahanan itu melakukan ‘overlapping’ ke kawasan gol pihak lawan sebelum melakukan tandukan ke bawah yang berjaya menewaskan penjaga gol Ghana, Adambathia Kwarasey.

Keputusan penuh perlawanan, Amerika Syarikat 2-1 Ghana.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Clint Dempsey (Amerika Syarikat)