MANA-mana pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang layak hingga ke final Piala Dunia Qatar tahun depan hanya mempunyai lapan hari untuk berehat sebelum kempen domestik disambung semula.

Dengan temasya Qatar 2022 akan berlangsung di tengah-tengah kalendar bola sepak Eropah, ia memaksa kejohanan utama yang lain direhatkan bagi memberi laluan kepada pertandingan berprestij itu.
Piala Dunia dijadualkan bermula pada 21 November hingga 18 Disember 2022.

Oleh itu, musim baru EPL akan bermula seminggu lebih awal daripada biasa iaitu pada 6 Ogos dan akan diteruskan hingga 13 November, sehubungan itu beberapa pasukan kebangsaan hanya mempunyai sekurang-kurangnya lapan hari untuk mengumpul pemain mereka sebelum kejohanan bermula.


EPL akan disambung semula dalam 'Boxing Day', lapan hari selepas perlawanan akhir Piala Dunia di Lusail itu.

Ini bermakna mana-mana pemain yang berpangkalan di England perlu menjalani pemulihan segera sebelum kembali menggalas tugas di peringkat domestik.

Lazimnya, Piala Dunia akan bermula pada awal Jun, sekali gus membolehkan pasukan mempunyai kira-kira dua minggu untuk membuat persiapan termasuk merangka perlawanan persahabatan.

Pemain pula biasanya akan diberi cuti selepas beraksi dalam sesebuah kejohanan, namun ia tidak akan berlaku kali ini.

Bagaimanapun, pemain masih sempat menikmati rehat yang panjang sebelum aksi pra-musim memandangkan tidak banyakj kejohanan antarabangsa yang dianjurkan.

Kempen EPL 2022-23 juga akan berakhir lebih lewat daripada biasa dengan perlawanan terakhir akan diadakan pada 28 Mei 2023.