Semalam, Al-Sultan Abdullah yang sedang dalam rangka lawatan khas ke Qatar selama enam hari bermula 13 Dis, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 antara Perancis dan Maghribi di Stadium Al Bayt, Doha.
Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan Presiden Perancis itu turut hadir menyaksikan perlawanan yang berkesudahan dengan Perancis, yang juga juara bertahan layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Maghribi dengan keputusan 2-0.
Seri Paduka yang berada di Qatar atas persilaan peribadi Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sempena temasya bola sepak Piala Dunia itu, turut dijadual menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar.
Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Dis ini.
-- BERNAMA