YANGON: Vietnam membuka kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dengan bergaya selepas membelasah Laos 6-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Nasional KM16 di Vientiane, malam tadi.

Juara dua kali itu selesa mendahului 2-0 pada separuh masa pertama selepas penyerang, Nguyen Tien Linh memulakan pesta gol Vietnam menerusi penyudah pada minit ke-15 sebelum pemain tengah, Do Hung Dung menggandakan kedudukan dua minit sebelum rehat.

Skuad Naga Emas di bawah bimbingan jurulatih 'bengis' dari Korea Selatan, Park Hang Seo itu terus mengganas pada babak kedua apabila meledak dua jaringan dalam tempoh tiga minit menerusi dua pemain pertahanannya iaitu Ho Tan Tai pada minit ke-55 diikuti Doan Van Hau pada minit ke-58.

Dua lagi jaringan Vietnam menyaksikan pemain simpanan, Nguyen Van Toan, mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-82 sebelum Vu Van Thanh yang turut dibawa masuk pada babak kedua melengkapkan kemenangan 6-0 pasukan pada masa kecederaan.

Kemenangan besar itu membolehkan Vietnam menerajui carta Kumpulan B dengan perbezaan jaringan apabila berkongsi tiga mata bersama Malaysia di kedudukan kedua selepas skuad Harimau Malaya merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.

Piala AFF: Malaysia tundukkan Myanmar, Faisal, Ahmad Syihan jadi wira

Vietnam yang muncul juara pada 2008 dan 2018 seterusnya akan membuat perhitungan menentang Malaysia di Hanoi pada aksi kedua kumpulan 27 Dis ini.

Malaysia terlebih dahulu akan menerima kunjungan Laos di Stadium Nasional di Bukit Jalil Sabtu ini.

-- BERNAMA