Wira dari Sabah itu telah menjadi juara ‘featherweight’ Malaysia setelah menewaskan pesaingnya Melvin Yeoh yang berasal dari Johor.
Bagaiamanapun, bekas juara silat negara itu menyifatkan pertarungannya dengan Yeoh yang merupakan rakan karibnya umpama ‘membunuh’ rakan sepasukan, lebih-lebih lagi kerana Yeoh juga dari Malaysia.
Petarung berhati mulia (kiri: AJ Lias Mansor, kanan: Melvin Yeoh) - Foto oleh Nasrul Shazli Samil
"Tetapi ia adalah tugas... ia adalah pertarungan profesional yang perlu saya lakukan," kata AJ yang berusia 38 tahun dalam satu sidang media sejurus selepas pertarungannya dengan Yeoh.
Pertarungan dua ‘otai’ MMA itu mendapat perhatian ramai yang hadir untuk menyaksikan pertarungan tersebut yang telah berlangsung selama tiga pusingan.
Mengulas tentang niatnya untuk menyumbangkan kemenangan kepada mangsa-mangsa taufan Haiyan di Filipina, AJ berkata ia adalah kerana beliau tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan di sana.
Beliau yang telah melawat Manila baru-baru ini berkata keadaan rakyat di sana yang telah kehilangan orang tersayang serta tempat tinggal amat menyedihkan meskipun tidak seteruk keadaan di Tacloban.
“Melihat rakyat di sana tiada bekalan, tiada makanan... yang meninggal... jadi saya tekad untuk melakukannya. Saya berkata kepada diri saya, jika saya menang saya akan sumbangkan wang itu kepada mangsa-mangsa tersebut,” kata AJ dengan penuh emosi.
Selain itu, AJ juga ingin pulang ke rumahnya di Kota Kinabalu sebaik sahaja kejohanan ini selesai kerana beliau amat merindui ibunya.
Ibu AJ telah menjadi inspirasi kepada dirinya yang turut mendorongnya untuk meneruskan latihan di serata Asia meskipun ibunya itu kurang sihat.
Kejohanan ONE FC Warrior Spirit telah diadakan pada Jumaat lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil di mana petarung-petarung MMA dari Asia dan dunia bersaing secara profesional bagi kategori masing-masing.