Baginya, barisan pemain negara telah menujukkan perubahan positif berbanding ketika tewas 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan terdahulu.
Dalam aksi terbaru itu, Baddrol Bakhtiar berhasil menemui satu jaringan untuk merapatkan kedudukan kepada 1-3 sebelum waktu rehat tetapi Harimau Malaysia kemudian dibolosi dua gol lagi dalam babak kedua.
"Apabila kita bertemu Jordan dalam perlawanan tempoh hari, kita boleh nampak terlalu banyak kesilapan individu tetapi kalau kita lihat perlawanan pada Sabtu, kesilapan individu yang besar dapat dikurangkan," katanya seperti yang dipetik dalam Nadi Weekend pada Ahad.
"Bagaimanapun, daripada segi bertahan sebagai satu pasukan, kami masih perlu memperkemaskannya."
BACA: Harimau Malaya kecundang lagi, tewas 1-5 kepada Uzbekistan
Pemain kelab Belgium, KV Kortrijk, itu diletakkan selaku kesebelasan utama buat julung-julung kalinya dan Cheng Hoe berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan pemain berusia 19 tahun berkenaan.
"Walaupun berdepan dua pertahanan yang tinggi dan besar, kita dapat melihat keyakinannya untuk menyimpan bola dan dapat membuatkan pertahanan lawan kelam-kabut.
"Kita juga dapat lihat betapa dia merupakan masa depan yang baik buat pasukan ini," tambahnya.