PARIS: Perintis pemain keturunan Afrika meninggal dunia selepas 39 tahun koma akibat pembedahan lutut
Bekas pertahanan Perancis dan Paris Saint-Germain (PSG), Jean-Pierre Adams, meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas 39 tahun koma.

Adams, yang 22 kali mewakili Perancis, berada dalam keadaan koma sejak berumur 34 tahun selepas menjalani pembedahan lutut.

Begitupun, Adams tidak pernah sedar daripada pembedahan itu berikutan kesilapan prosedur perubatan berkaitan ubat tahan sakit oleh kakitangan hospital di Lyon hingga menyebabkan otaknya kekurangan oksigen.


Adams meninggal dunia di Hospital Universiti Nimes malam tadi.

Bekas kelabnya Nimes, Nice dan PSG meluahkan penghargaan dan penghormatan kepada perintis yang membuka jalan bagi pemain bola sepak Perancis-Afrika itu.


Nimes mengucapkan takziah kepada orang yang disayangi dan keluarganya sementara Nice menjanjikan satu majlis penghormatan sebelum perlawanan ketika menjadi tuan rumah kepada Monaco pada 19 September ini.

PSG juga mengeluarkan kenyataan yang melaungkan sentimen serupa sambil mengucapkan "joie de vivre, karisma serta sumbangan Adams akan dihargai".

Pemain bola sepak kelahiran Senegal itu pulang ke Nimes selepas pembedahan berkenaan gagal lalu dijaga oleh isterinya, Bernadette, hingga saat kematiannya.