WARSAW: Pasukan Poland terpaksa beraksi di Euro 2024 tanpa penyerang bintang mereka, Arkadiusz Milik, yang disahkan terlepas kejohanan itu selepas mengalami kecederaan lutut semasa perlawanan persediaan menentang Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Pasukan Poland kehilangan penyerang utama mereka, Arkadiusz Milik, kerana cedera lutut semasa perlawanan persediaan Euro 2024.
  • Jurulatih kebangsaan Poland mengesahkan bahawa Milik tidak dapat menyertai kejohanan itu dalam sidang media selepas perlawanan.
  • Milik, yang merupakan penyerang Juventus, dianggap sebagai pasangan yang sesuai untuk Robert Lewandowski dari Barcelona dalam serangan, dan Poland akan bermula perlawanan Euro mereka pada 16 Jun menentang Belanda.


Poland mencatat kemenangan 3-1 ke atas Ukraine, namun penyerang Juventus itu cedera di awal perlawanan persahabatan dan terpaksa digantikan selepas empat minit.

"Milik tidak akan ke Euro," jurulatih kebangsaan Poland, Michal Probierz mengesahkan perkara itu semasa sidang media selepas perlawanan.

Milik, 30, pernah bermain dalam Bundesliga untuk Bayer Leverkusen dan FC Augsburg sebelum berpindah ke Ajax Amsterdam.

Selepas beraksi di Napoli dan Marseille, beliau telah bermain untuk Juventus sejak 2022.

Milik dianggap sebagai pilihan untuk berganding dengan penyerang Barcelona, Robert Lewandowski, dalam serangan.

Poland akan memulakan kempen Euro mereka pada 16 Jun menentang Belanda sebelum menghadapi Austria dan Perancis dalam peringkat kumpulan.

Mereka akan bermain perlawanan persediaan terakhir menentang Turkiye pada 10 Jun.

-- BERNAMA