MANCHESTER City menjulang Piala Liga buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun selepas menewaskan Liverpool dalam penentuan sepakan penalti, awal pagi tadi.

Penjaga gol Willy Caballero nyata menjadi hero City untuk meraih piala utama pertama musim ini apabila membantu skuad itu meraih keputusan penalti 3-1 selepas perlawanan terikat 1-1 pada 120 minit.

Dalam aksi yang berlangsung di Wembley itu, penjaga gol dari Argentina, Caballero menyelamatkan tiga sepakan penalti, iaitu dari Lucas, Philippe Coutinho dan Adam Lallana.

"Mungkin kebanyakan media menunggu dia melakukan kesalahan dan mengkritik keputusan saya meletakkannya dalam senarai pemain utama.

"Dia pernah beraksi menentang Chelsea dan melepaskan lima gol tetapi saya tidak pernah hilang kepercayaan terhadapnya kerana saya tahu sejauh mana kehebatan pemain ini," kata jurulatih City, Manuel Pellegrini.

Sebelum ini, Pellegrini dikritik hebat apabila menurunkan 5 pemain muda ketika tewas 1-5 kepada Chelsea dalam saingan Piala FA dan Caballero yang turut beraksi pada perlawanan itu dikatakan beraksi buruk. Bagaimanapun, 7 hari selepas detik hitam itu, Caballero tampil bangkit membalas kepercayaan diberikan Pellegrini.

"Saya sangat gembira bukan kerana ini adalah musim terakhir saya bersama City tetapi kerana pelbagai alasan. Saya gembira dengan prestasi pemain ketika berdepan lawan yang sukar seperti Liverpool.

"Saya gembira dengan prestasi Cabellero dan dia layak menikmati saat hebat ini. Saya juga gembira dengan sikap yang ditunjukkan Joe Hart kerana dia bukan sahaja penjaga gol hebat tetapi juga seorang yang baik dengan sering membantu Cabellero dalam bilik persalinan," tambah Pellegrini.

Dalam waktu sebenar perlawanan, City terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Fernandinho di minit ke-49, sebelum Philippe Coutinho menyamakan kedudukan di minit ke-84.