Sekadar hukuman minima, itulah yang dapat ditafsirkan mengenai hukuman Jawatankuasa Tatatertib FAM terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda dikenakan dua pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM, selepas melemparkan kritikan terhadap tahap pengadilan yang dipaparkan dalam beberapa akhbar arus perdana pada 20 Februari lalu.

Kesalahan pertama Tunku Ismail ialah mengeluarkan kenyataan mengenai FAM tanpa kebenaran dan baginda, dihukum gantung selama enam bulan daripada segala aktiviti bola sepak serta denda sebanyak RM8,000.

Kesalahan kedua adalah mengkritik FAM dan baginda didenda sebanyak RM10,000.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Razak, menjelaskan mengapa Tunku Ismail tidak menerima hukuman yang lebih berat.

"Tan Sri Annuar Musa digantung dua setengah tahun atas dua pertuduhan. Dia adalah Timbalan Presiden FAM, orang kanan dan turut memegang jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi dalam Jawatankuasa lain di FAM.

"Jika dia melakukan kesalahan sudah tentu hukumannya lebih tinggi," kata Taufik ketika sidang media di Wisma FAM pada Jumaat.

Tambah Taufik,Tunku Ismail mengaku bersalah terhadap kesalahannya dan memohon maaf kepada FAM.

Selain hukuman terhadap Tunku Ismail, Jawatankuasa Tatatertib turut menjatuhkan hukuman kepada pengurusan Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim, J-D-T.

Harimau Selatan dikenakan hukuman denda berjumlah RM 30,000 di atas dua kesalahan.

Kesalahan pertama adalah nyalaan "flare" oleh peminat skuad D-T ketika aksi Liga Super berdepan Negeri Sembilan di Larkin, 3 Mac lalu.

Tindakan itu menyebabkan perlawanan tergendala selama tiga minit dan D-T didenda RM10,000 atas kesalahan ini.

Kesalahan kedua adalah berkisar terhadap tahap keselamatan yang lemah pada perlawanan itu dan D-T didenda, RM20,000.

Kesemua hukuman terhadap Tunku Ismail dan pengurusan skuad D-T adalah hukuman minima dan ia tidak boleh dirayu.