IPOH: Perak FC mengakui memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan suasana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Lumut bagi mengharungi baki saingan Liga Super pada musim ini.

Ketua jurulatih Perak FC Yusri Che Lah berkata bagi memastikan ia tidak berlarutan, beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan akan diadakan sebelum melayani kunjungan Sabah di stadium berkenaan pada 19 Okt ini.

"Walaupun jarak (perjalanan) antara Ipoh dan Manjung itu tidaklah terlalu jauh, beberapa aspek termasuk keadaan padang dan suasana di Manjung yang terletak di tepi laut, ia sememangnya berbeza dan memerlukan masa.

"Kita perlu adakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk pastikan prestasi pasukan tidak terganggu disebabkan perubahan stadium ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan pada Januari lepas menawarkan geran berjumlah RM500,000 bagi kerja-kerja penggantian rumput padang di 14 stadium negeri termasuk Wilayah Persekutuan.

Perak antara negeri yang bersetuju menggunakan geran berkenaan dan proses penggantian rumput di padang Stadium Perak di sini dijangka mengambil masa hingga Mei tahun depan, justeru Perak FC bakal mengharungi baki saingan Liga Super musim ini di Stadium MPM.

Yusri berkata ketika ini pihak pengurusan masih mengekalkan Kompleks Bola Sepak Perak di Chepor di sini sebagai pusat latihan utama pasukan berbanding menyewa mana-mana lokasi lain di Lumut untuk tujuan sama.

"Kita masih akan menjalani latihan seperti biasa di Ipoh dan hanya akan bergerak ke Lumut sehari sebelum perlawanan sebenar bermula. Saya fikir kaedah ini lebih praktikal dan pada masa yang sama dapat menjimatkan perbelanjaan pasukan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berharap prestasi pemain akan terus meningkat bagi memastikan kedudukan Perak FC di tangga keempat Liga Super ketika ini terus dipertahankan.

Pada 26 Sept, media melaporkan Perak FC dalam kenyataan memamaklumkan satu sesi pemeriksaan telah diadakan dan dihadiri oleh wakil Perak FC, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), MPM, Astro dan juga pasukan video bantuan pengadil (VAR) bagi menilai keadaan terkini Stadium MPM.

Dilaporkan hasil pemeriksaan mendapati stadium itu bersedia menjadi venue aksi Liga Super dan Piala MFL buat skuad Perak FC yang berbaki musim ini, menjadikan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 5 Okt dalam saingan Liga Super dijangka sebagai aksi terakhir di Stadium Perak.

-- BERNAMA