KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak wanita kebangsaan berharap agar liga bola sepak untuk kaum Hawa diperkenalkan dalam usaha merancakkan lagi perkembangan sukan berkenaan dalam kalangan mereka.

Kapten skuad kebangsaan Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh percaya kewujudan liga berkenaan mampu menjadi platform untuk merekrut lebih ramai lagi pemain bagi memperkuatkan pasukan pada masa depan.

"Kita (pasukan) ini ada potensi cuma memerlukan disiplin serta komitmen tinggi dan semuanya akan baik. Saya juga mahu pemain sedia ada tidak berhenti berlatih dan berharap mereka kekal cergas secara mental dan fizikal," katanya dalam rakaman audio dikongsi kepada pihak media, hari ini.

Steffi berkata demikian selepas membantu pasukan kebangsaan mengakhiri saingan Kumpulan H kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan mencatat kemenangan ke atas Palestin 2-0, malam tadi.

Dalam pada itu, penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan yakin pengenalan liga wanita, sekiranya berjaya direalisasi, mampu menarik minat pemain muda untuk menceburi sukan nombor satu negara itu.

Selain liga wanita, tonggak tengah berusia 20 tahun, Andrea Lee, juga mahu melihat lebih banyak pertandingan domestik dijalankan bagi kaum hawa untuk memberi pendedahan berguna kepada para pemain mendapat pengalaman secukupnya beraksi dalam saingan kompetitif.

Piala Tun Sharifah Rodziah adalah satu-satunya kejohanan bola sepak wanita negara sejak dicetuskan kali pertama pada 1976, dengan format pertandingan dijalankan mengikut kumpulan.

Sementara itu, ketua jurulatih Jacob Joseph, memuji para pemainnya yang menampilkan aksi terpuji berbanding perlawanan pertama yang menyaksikan anak buahnya tumpas 0-4 di tangan Thailand Ahad lepas.

"Saya beritahu jangan panik seperti menentang Thailand yang menyaksikan kita seperti tidak tahu nak membuat apa-apa. Saya beritahu kepada pemain supaya menikmati perlawanan dan gembira mereka bermain dengan sangat baik," katanya.

Malaysia yang menghuni ranking ke-92 dunia kini berada di kedudukan kedua kumpulan berkongsi tiga mata dengan pendahulu Thailand (ke-39 dunia) yang akan berdepan Palestin (ke-120 dunia) pada aksi terakhir Kumpulan H, Sabtu ini.

Hanya juara setiap kumpulan layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita yang dijadual berlangsung pada Januari depan di India.

-- BERNAMA