PADA Ogos lepas, seorang pelarian dari Syria dan keluarganya mencari sinar baharu di Eropah.

Kini pelarian itu, Yusra Mardini, 17, merupakan salah satu calon atlet untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil dalam acara renang.

Ini kerana buat pertama kalinya, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memperkenalkan pasukan Atlet Olimpik Pelarian (ROA) yang memberi peluang kepada golongan pelarian untuk beraksi di temasya sukan antarabangsa itu.

Lapor The Guardian, Mardini yang sedang memohon suaka di Jerman kini berlatih di Wasserfreunde Spandau 04, iaitu salah satu kelab renang di Berlin.

“Saya ingin semua pelarian bangga dengan saya. Ini akan menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai perjalanan yang sukar, kita boleh mencapai sesuatu," kata Mardini.

Jurulatih Sven Spannekrebs berkata Mardini pada awalnya menjangkakan beliau akan layak untuk temasya Sukan Olimpik di Tokyo pada tahun 2020.

“Tetapi, kemahiran Mardini meningkat dengan pantas daripada jangkaan.

“Beliau begitu fokus. Beliau mempunyai matlamat dan menguruskan kehidupannya berdasarkan matlamat itu,” katanya kepada pemberita.

The Guardian turut melaporkan bahawa pihak IOC sudah mengenal pasti 23 atlet lain yang berpeluang untuk menyertai ROA.

Mereka merupakan atlet pelari dari Sudan Selatan, Burundi, Rwanda, Ethiopia, Uganda, Mali, Syria, Iran dan Iraq.

Untuk temasya Sukan Olimpik di Rio, ROA adalah pasukan yang kecil namun setakat ini pihak IOC sudah mengenal pasti 43 atlet yang mempunyai potensi untuk beraksi di temasya berprestij itu.

IOC akan mengumumkan senarai atlet ROA pada Jun nanti.