Desas-desus mengatakan bekas pengendali kelab gergasi Greece, Olympiakos FC, Paulo Jorge Gomes Bento bakal menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya hanyalah satu spekulasi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan hari ini berkata, persoalan mengenai individu yang akan mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, selepas mendapat perkenan dari Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden FAM, pengumuman itu akan dibuat sebaik sahaja segala proses dokumentasi dan kontrak antara kedua-dua pihak selesai.

"Saya ingin memberitahu kepada semua bahawa spekulasi mengenai jurulatih baharu skuad kebangsaan iaitu Paulo Jorge Gomes Bento yang telah menular di laman sosial sekarang ini adalah tidak benar.

Saya akan mengumumkan jurulatih sebenar skuad kebangsaan yang berasal dari Portugal itu dalam masa tiga atau empat hari lagi selepas kedua-dua pihak selesai segala urusan berkaitan dokumen dan kontrak," katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa Paulo Bento yang pernah menabur bakti bersama skuad kebangsaan Portugal sepanjang tahun 2010-2014 adalah calon pilihan bagi membantu mempersiapkan pasukan negara menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2019.

-- BERNAMA