KUALA LUMPUR: Pasukan sorak Team Malaysia Youth All Girls melakar pencapaian luar biasa apabila meraih tempat ketiga divisyen Youth All-Girl Median di International Cheer Union World Junior Cheerleading Championships (ICU JWCC) 2024, semalam.

Kejohanan yang diadakan di Florida, Amerika Syarikat (AS) itu menyaksikan Kanada muncul juara manakala Mexico di tempat kedua.

Persatuan sorak kebangsaan Cheerleading Association and Register of Malaysia (CHARM) dalam kenyataan memaklumkan kejayaan ini adalah bukti kerja keras, dedikasi dan bakat luar biasa atlet muda berusia 12 hingga 14 tahun, sehingga membawa kejayaan membanggakan kepada negara sekali gus mempamerkan potensi besar belia Malaysia di peringkat global.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tingi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Kementerian Pendidikan dan semua penaja atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan pasukan ini. Sumbangan dan dorongan mereka telah memainkan peranan penting dalam membantu pasukan mencapai kejayaan luar biasa ini," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, CHARM turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat atas komitmen mereka untuk mempromosikan kecemerlangan sukan di Malaysia termasuk sukarelawan jawatankuasa, jurulatih pasukan, pengurus, sekolah, ibu bapa dan penyokong.

"Pencapaian ini hanya mungkin dengan sumbangan dan kerja berpasukan setiap pihak terlibat," menurut kenyataan itu.

Pasukan sorak Malaysia dan CHARM akan terus berusaha untuk meletakkan nama negara di persada dunia dalam sukan sorak.

-- BERNAMA