PETALING JAYA: Kesemua kelab Liga Super berdepan cabaran baharu bermula musim hadapan apabila masing-masing diwajibkan menghantar pasukan bertanding dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia.

Perkara itu diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu yang dipengerusikan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Namun, perkembangan itu dilihat memberi bebanan kepada beberapa kelab terutama dalam aspek kewangan apabila perlu mempersiapkan dua lagi pasukan selain skuad utama yang beraksi dalam Liga Super dan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dalam saingan Piala MFL.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu bagi memastikan usaha pembangunan akar umbi diteruskan.

"Sekarang ini FAM harapkan pasukan cari satu langkah sebab kita tak boleh nak tinggalkan aspek pembangunan, ia perlu. Semua pasukan kena ada, kalau tak macam mana kita nak lahirkan pemain. Jadi maknanya kalau pasukan berbelanja RM10 juta, mereka kena peruntukkan juga untuk pembangunan.

"Kalau kita tak buat macam itu mereka mungkin belanja RM15 juta, RM20 juta, tetapi pembangunan tak ada. Kita mahu pasukan yang berusaha nak pastikan prestasi terbaik bagi pasukan utama dan dalam masa sama fikirkan pembangunan akar umbi," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan masalah akan timbul disebabkan perkara itu, namun menegaskan setiap kelab perlu bijak menguruskan kewangan.

Saingan Piala Presiden bagi peringkat umur Bawah 20 Tahun (B-20) dijadual bermula pada Februari hingga Ogos tahun depan manakala Piala Belia (B-18) akan bermula April hingga September disebabkan bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini bersetuju untuk melancarkan fasa kedua Peta Hala Tuju FAM iaitu F:30 pada Sabtu ini.

Fasa kedua F:30 dari 2023 hingga 2026 memfokuskan untuk menguasai peringkat Asia Tenggara dan mencabar pentas Asia dalam bola sepak.

Pada masa sama, mesyuarat itu bersetuju saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 akan dilangsungkan bermula April dengan format pertandingan akan diperincikan kemudian.

-- BERNAMA