Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menuntut anak buahnya meneruskan momentum kemenangan apabila berdepan PKNS FC dalam aksi Kumpulan D Piala Malaysia pada Sabtu.

Pahang sebelum ini memulakan saingan Piala Malaysia dengan kemenangan 4-3 ke atas PDRM, sebelum merakam kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Istiklol 3-1 pada aksi suku akhir kedua Piala AFC.

Justeru, Zainal mahu Pahang meneruskan rentak mereka dalam saingan Piala Malaysia untuk segera mencerahkan laluan ke peringkat suku akhir.

"Walaupun tersingkir (Piala AFC) moral dan sikap pemain amat baik dalam dua perlawanan terakhir.

"Jadi, saya harap ia akan berterusan kerana keyakinan pemain berada di tahap baik," ulasnya.

Zainal bagaimanapun mengingatkan pemainnya agar tidak memandang mudah skuad bimbingan E Elavarasen itu yang membuat kejutan membenam Pulau Pinang 3-0 dalam aksi pertama mereka.

Beliau sedar Piala Malaysia memberi elemen kejutan termasuk pasukan bukan pilihan.

"Bagi saya dalam Piala Malaysia di mana kesemua pasukan akan mengambil pendekatan berlainan kerana ini piala terakhir.

"Kalahkan Pulau Pinang adalah satu keputusan yang baik jadi kami harus berhati-hati berdepan PKNS FC nanti."