PAHANG Rangers terpaksa melepaskan pemain import tunggal pasukan itu, Fineo De Araujo, gara-gara kecederaan yang dialami.

Ketua jurulatih, Gerard Casas, sedang berusaha mencari pengganti untuk menghadapi baki saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MFPL).

"Berikutan COVID-19 yang sedang melanda dunia, saya melalui hebahan ini ingin mengumumkan penarikan diri bersama pasukan Pahang Rangers Futsal di Malaysia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kelab dan semua orang yang terlibat atas penerimaan dan keyakinan terhadap tugas saya. Saya ingin memberitahu anda bahawa saya sedia menghadapi cabaran baru (bersama pasukan lain)," katanya dalam satu kenyataan di Instagram miliknya, fineofutsal87.

De Araujo tidak sempat beraksi dalam perlawanan pembukaan 14 Mac lalu yang menyaksikan skuad Pantai Timur itu membenam Sarawak 9-1 di Kuantan.


Ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga kini, ia memaksa Pahang Rangers terpaksa menamatkan kontrak berusia 33 tahun itu.

Jelas Casas, mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu gaji sebagaimana yang dialami dalam saingan bola sepak tempatan.

"Sudah tentu kami sedih. Dia tidak sempat beraksi dalam perlawanan pertama kempen liga ekoran ditimpa kecederaan dalam Kejohanan Piala Sultan Ahmad Shah 2020.

"Dia seorang pemain dan individu yang bagus tetapi adalah mustahil untuk mengekalkannya di sebalik pandemik ini," katanya dalam wawancara ekslusif dari Madrid, Sepanyol, bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Pahang Rangers kini sedang mencari pengganti kepada tonggak dari Brazil itu mengidamkan seorang pemain Sepanyol bagi mengisikan kekosongan berkenaan, namun keputusan tetap tertakluk kepada pengurusan tertinggi.

"Saya tidak dapat menamakan pemain-pemain yang dimaksudkan tetapi sudah tentu kami mempunyai calonnya.

"Saya lebih cenderung untuk mendapatkan pemain Sepanyol berbanding dari Iran atau Brazil sebab saya tahu selok belok permainan Sepanyol yang sangat taktikal."