PIHAK berkuasa Perancis menahan pemain hoki Australia, Tom Craig, selepas disyaki membeli dadah jenis kokain daripada pengedar di tengah kawasan perumahan di kota Paris, semalam.

Kali terkahir atlet berusia 28 tahun itu beraksi adalah saingan suku akhir dengan menyaksikan negaranya tewas kepada Belanda 2-0.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Olimpik Australia dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan, pemenang pingat perak dalam edisi Tokyo 2021 itu telah dibebaskan tanpa tuduhan dan hanya diberikan amaran keras.

Namun, dalam satu video terbaru dia meminta maaf di atas melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab ketika mewakili negara ke temasya sukan paling berprestij itu.

"Pertama sekali saya memohon maaf. Saya telah melakukan kesilapan dan mengambil tanggungjawab penuh atas tindakan saya ini.

"Tindakan saya adalah berunsurkan peribadi dan tidak mencerminkan keluarga, pasukan, sahabat saya, sukan hoki mahupun Jawatankuasa Olimpik Australia," katanya kepada media. - Stadium Astro