Pearly-Thinaah turun bertemu dengan bekas juara dunia 2018 dan 2019 dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dalam misi mencari kemenangan pertama dalam aksi kumpulan A.
Set pertama tampak baik buat Pearly-Thinaah apabila berjaya mendahului perlawanan 11-7 pada satu ketika namun kualiti ditampilkan pasangan Jepun untuk bangkit semula sekali gus mengambil set 21-18.
Di set kedua, Pearly-Thinaah tidak duduk diam, kembali mencatur strategi demi strategi dan akhirnya berjaya merampas set ini, 21-16.
Kembali bersaing di set penentuan, adegan perang psikologi tampak dimainkan oleh kedua-dua pasangan namun rezeki tidak pernah salah alamat apabila Pearly-Thinaah berjaya mengharumkan nama negara dengan menang set ini 21-16.
Selepas ini, Pearly-Thinaah akan meneruskan perjuangan dalam misi untuk mengisi slot suku akhir dengan syarat perlu membenam cabaran terakhir beregu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadanti.
*Artikel disiarkan di Stadium Astro