Olimpik Paris 2024: Nurul Izzah ke repechage acara pecut
Pelumba berusia 20 tahun itu mencatat masa 10.709 saat (s) dan menamatkan sesi kelayakan itu di kedudukan ke-21 untuk mara ke pusingan 1/32 yang dijadual malam ini.
Astro Awani
Fri Aug 09 2024
Nurul Izzah mencatat masa 0.081 saat di belakang pelumba dari Great Britain dalam saingan heat 4 yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, sebentar tadi - Gambar Reuters
KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan turun beraksi dalam pusingan repechage selepas tewas kepada Sophie Capewell pada pusingan pertama acara pecut Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelumba berusia 20 tahun itu mencatat masa 0.081 saat (s) di belakang pelumba dari Great Britain dalam saingan heat 4 yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Nurul Izzah masih berpeluang untuk ke pusingan 1/16 jika menang pada pusingan tersebut.
Sebelum itu, Nurul Izzah melepasi pusingan kelayakan acara pecut dengan mencatat masa 10.709s.
Dia menamatkan sesi kelayakan itu di kedudukan ke-21 daripada 24 pelumba untuk mara ke pusingan 1/32.
Dalam saingan tersebut, satu rekod dunia berjaya dipecahkan melalui pelumba dari Jerman, Lea Sophie Friedrich dengan catatan masa 10.029s.
Nurul Izzah yang membuat penampilan sulung di Olimpik memulakan kempennya dalam acara keirin wanita pada 7 Ogos lalu.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Kedah itu tidak berhasil untuk mara ke saingan suku akhir acara keirin individu selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga daripada lima pelumba dalam saringan pertama repechages.
Ikuti perkembangan terkini atlet Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 di sini