ANKARA: Belgium menarik diri daripada acara triathlon campuran Olimpik Paris 2024 yang dijadual berlangsung pada Isnin selepas seorang atletnya jatuh sakit, lapor Agensi Anadolu.

Pasukan itu dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa atletnya Claire Michel, jatuh sakit dan terpaksa menarik diri daripada pertandingan.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa selepas perbincangan dengan atlet dan pengurusan mereka, pasukan Belgium memutuskan untuk tidak menyertai triathlon campuran di Sukan Olimpik Paris esok.

Pada 31 Julai lalu, Michel, 35, menyertai acara triathlon kategori individu wanita dan berenang di Sungai Seine.

Akhbar sukan Perancis, L'Equipe melaporkan bahawa Michel dibawa ke hospital selepas dijangkiti E. coli.

Sesi latihan pertama untuk para atlet sebelum ini dibatalkan kerana pencemaran di Sungai Seine, menurut penganjur.

Acara triathlon wanita dan lelaki kemudiannya diadakan pada 31 Julai.

Cassandre Beaugrand dari Perancis memenangi pingat emas dalam acara individu wanita, manakala Alex Yee dari Team Great Britain meraih emas dalam acara individu lelaki di Paris 2024 pada Rabu.

Sukan Olimpik akan berakhir pada 11 Ogos.

-- BERNAMA