NEW DELHI: Ahli gusti India, Vinesh Phogat telah dibatalkan daripada menyertai final 50kg gusti gaya bebas wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, beberapa jam sebelum aksi bermula pada Rabu, kata pegawai.

Menurut Persatuan Olimpik India (IOA), penyertaan Phogat dibatalkan kerana berat badan berlebihan, lapor Xinhua.

Beliau sepatutnya berhadapan dengan Sarah Hildebrandt dari Amerika Syarikat untuk merebut pingat emas.

"Dengan penuh kesal, Kontinjen India berkongsi berita mengenai pengguguran Vinesh Phogat dari kelas Gusti Wanita 50kg. Walaupun usaha terbaik oleh pasukan sepanjang malam, beliau didapati melebihi beberapa gram daripada 50kg pagi ini.

"Tiada komen lanjut akan dibuat oleh kontinjen pada masa ini. Pasukan India meminta anda menghormati privasi Vinesh," kata IOA dalam satu kenyataan.

Phogat didapati mempunyai berat berlebihan sebanyak 100 gram semasa penimbangan pada pagi Rabu.

Pada Selasa malam, Phogat menewaskan Juara Dunia dan Olimpik 50kg, Yui Susaki dalam pusingan pembukaan.

Beliau kemudian mengalahkan Oksana Livach dari Ukraine, sebelum menewaskan Yusneylis Guzman Lopez dari Cuba dalam perlawanan separuh akhir, dalam usahanya menjadi ahli gusti wanita pertama India yang mara ke final Olimpik.

-- BERNAMA