NILAI: Pelumba muda negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri melakar kejutan apabila meraih pingat emas acara pecut wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2022 di Velodrom Nasional Nilai pada Sabtu.

Dalam aksi penentuan pingat emas, pelumba berusia 19 tahun dari Kedah itu menewaskan pelumba negara Anis Amira Rosidi yang mewakili Perlis 2-0.

Pelumba Selangor Yong An Yi meraih pingat gangsa selepas mengenepikan pelumba Pulau Pinang Nurul Aliana Syafika Azizan pada saingan penentuan tempat ketiga.

Nurul Izzah ketika ditemui berkata perlumbaan hari ini adalah 'menggerunkan' apabila terpaksa berdepan pelumba lebih berpengalaman dan menyifatkan kemenangan diperolehnya adalah paling berharga.

"Pada mulanya saya rasa takut sebab tidak pernah berlawan dengan Anis (Amira) sebab dia pun pelumba kebangsaan berpengalaman dan saya tidak harap menang tapi saya cuba.

"Strategi saya, cuba lebih pantas supaya tidak kena sekat, sebab kekuatan kami agak sama," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pelumba muda negara itu berkata beliau akan memberikan tumpuan untuk meningkatkan prestasi menjelang temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mewakili Johor mengungguli acara pecut lelaki elit menewaskan pelumba Selangor Muhammad Fadhil Zonis 2-0 dalam aksi penentuan emas.

Seorang lagi pelumba Johor yang juga adik kepada Muhammad Shah Firdaus, Muhammad Ridwan meraih gangsa selepas menewaskan Ahmad Safwan Ahmad Nazri dari Perak.

-- BERNAMA