Tanpa memetik nama mana-mana individu, beliau memberitahu, meskipun pelantikan ahli keluarga untuk jawatan tertentu tidak melibatkan pembayaran elaun atau gaji, namun ia menimbulkan percanggahan kepentingan.
"Berhentilah bermain politik dan membuat keputusan cakap tak serupa bikin. Misalnya, tiba-tiba ada dasar menteri-menteri boleh lantik anak-beranak sebagai pegawai.
"Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan dan berbaur nepotisme.
"Dulu ditentang kini sudah jadi dasar. Untuk apa dasar ini diperkenalkan?," soalnya ketika menyampaikan ucapan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, pada Rabu.
Menurut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pelantikan itu tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini.
"Rakyat bukan nak lihat anak menteri, anak perdana menteri, memegang jawatan dalam kerajaan. mereka nak lihat menteri dan perdana menteri buat kerja untuk rakyat," ujarnya.
Sebelum ini tindakan melantik Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak.
Namun Nurul Izzah kemudiannya mengumumkan beliau tidak lagi memegang jawatan itu.