KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dipilih sebagai Presiden kehormat Badminton Asia (BA) bagi penggal 2023-2027.

Pemilihan Norza diumumkan oleh presiden baharu BA, Kim Jong Soo dari Korea Selatan, selepas persetujuan sebulat suara daripada perwakilan dan barisan kempimpinan BA pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan serantau itu di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Menurut kenyataan BAM, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, memenangi jawatan Setiausaha Agung BA, pada pemilihan tersebut.

Bagaimanapun, BAM tidak menjelaskan butiran berhubung jumlah undi atau calon pada pemilihan tersebut.

Menurut laman web BA, jawatan presiden menyaksikan pertandingan antara Kim dan AliJah Almarri dari Kuwait manakala Kenny dicabar oleh Armand Darmadji (Indonesia), Omar Mohammad Bani Hani (Jordan) dan Ng Yoke Weng dari Singapura.

"Pelantikan Presiden BAM adalah sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan besar beliau kepada sukan itu di Asia. Norza adalah rakyat Malaysia pertama yang menyandang jawatan Presiden Kehormat," menurut BAM.

Menurut Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, pelantikan itu secara tidak langsung akan memberi nilai tambah kepada BA berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan Norza dalam bidang pemasaran, penajaan, penganjuran acara dan pembangunan badminton.

"Kami menyambut baik pelantikan itu dan mengucapkan tahniah kepada Norza bagi pihak Majlis BAM dan semua ahli gabungannya," katanya dalam kenyataan tersebut.

-- BERNAMA