Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David meneruskan penguasaannya selepas menjuarai kejohanan Terbuka Cleveland Classic 2014 yang berlangsung di Cleveland Racquet Club, Ohio, Amerika Syarikat.

Pemain berusia 30 tahun dari Pulau Pinang itu baru-baru ini menjulang gelaran Kejohanan Juara-Juara (ToC) di New York pada 26 Jan lepas, menumpaskan Annie Au dari Hong Kong 13-11, 11-5, 11-6.

Mengenai kemenangannya, Nicol yang merupakan juara dunia tujuh kali berkata beliau berpuas hati dapat menjulang gelaran keduanya pada musim ini.

"Perasaannya amat mengagumkan yang anda tidak dapat luahkannya kepada orang lain. Latihan keras selama ini berbalas di gelanggang," katanya seperti dipetik dalam laman web kejohanan www.squashsite.co.uk.

Untuk rekod, Nicol telah memenangi semua kejohanan pada 2012 di samping muncul naib juara pada 2011 dan 2013.

Kemenangan ini merupakan gelaran ke-73 Nicol dalam 92 kemunculan di peringkat final dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 35 perlawanan, selain lapan kemenangan berturut-turut.